Tuesday, May 12, 2009

Menghadiri Taklimat Isu-isu semasa di Auditorium Perdana Angkasapuri

(S = Soalan , DSSHA = Dato’ Seri Syed Hamid Albar )

S : Bagaimana Dato’ Seri mengendalikan masalah yang berkaitan keselamatan yang kini menampakkan seperi tidak tegas di dalam melaksanakan sesuatu tindakan seperti kes Karpal Singh di Perak ?

DSSHA : Kementerian Dalam Negeri tidak boleh mengambil sebarang tindakan dengan sewenang-wenangnya kerana setiap tindakan mestilah berpaksikan kepada keputusan yang dibuat oleh ketua organisasi di dalam sebuah pasukan ataupun sebuah organisasi. Jika keputusan yang diputuskan supaya kita mengambil tindakan maka kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Seperti kes Karpal Singh kita harus melihat dari sudut undang-undang yang mana apakah dia terikat dengan imuniti sebagai ahli parlimen ataupun sebaliknya. Kini kita sudah beralih kepada pemikiran yang baru sebagai contoh, kalau kes di Perak itu berlaku pada 10 tahun dahulu saya percaya Perak akan di isytiharkan darurat tetapi kini kita telah beralih kepada pemikiran yang baru yang mana sebarang kes perlulah melalui saluran kehakiman iaitu kepada keputusan Peguam Negara. Ini kerana pihak polis tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa tetapi hanya mempunyai kuasa untuk menyiasat sebarang laporan yang diterima.

S: Berkaitan penggunaan perkataan “Allah” di dalam Majalah Herald Catholic, Bagaimanakah keputusan membatalkan pewartaan itu boleh dibuat dan ianya menampakkan seperti Kementerian Dalam Negeri seolah-olah hilang integritinya dalam mentadbir?

DSSHA : Dalam perkara ini saya ingin menegaskan bahawa jika kita bergerak didalam satu pasukan atau organisasi kita perlulah taat dan setia kepada ketua organisasi kita. Tidak ramai pemimpin yang berani mengaku kesalahan semata-mata untuk menjaga kepentingan peribadi dan saya berdoa agar saya tidak tergolong dalam golongan tersebut. Pewartaan yang dikeluarkan tidak mengikut apa yang telah diputuskan dan saya mesti mengambil keputusan untuk membatalkannya supaya tidak mengelirukan segelintir pihak dan dapat mengekalkan keamanan antara kita semua. Perkataan Allah itu sendiri telah lama wujud dan hanya boleh diguna pakai oleh orang islam kerana ianya tidak wujud di dalam mana-mana kitab yang lain selain al-quran. Jadi kita seharusnya mengambil sikap hormat-menghormati diantara kita supaya pertelingkahan agama dapat dihindarkan.

No comments:

Post a Comment