Wednesday, May 20, 2009

DUN Penanti

  1. Saya menghormati keputusan yang dibuat berkenaan pilihanraya kecil DUN Penanti. Dari segi teknikalnya memanglah tepat. Kekosongan ini adalah kekosongan yang sengaja diadakan tanpa sebab-sebab munasabah oleh pembangkang. Tetapi apa yang kini menjadi perbualan umum adalah samada di dalam konteks politik ia satu keputusan yang bijaksana atau tepat. Ada pandangan yang mengatakan keputusan tersebut akan membawa implikasi negatif terhadap BN khususnya UMNO. Inilah dikatakan kali pertama BN sebagai sebuah parti pemerintah membuat keputusan untuk tidak mengambil bahagian dalam pilihanraya kecil, walaupun kita mempunyai hujah dan alasan yang kukuh.

  2. Apakah persepsi rakyat dan pengundi?. Jawapan singkat mereka mengatakan UMNO tidak yakin boleh menang. Persepsi juga timbul di pemikiran rakyat yang BN tidak berani untuk berhadapan dengan pembangkang. Pada masa ini persoalannya pada mereka adalah tidak seharusnya BN disandarkan kepada menang atau kalah. Disepanjang masa kita akan berhadapan dengan cabaran dan kerenah pembangkang sehingga PRU13. Kita tidak boleh dilihat berundur dengan apa alasan sekalipun.

  3. Sebagai sebuah parti yang besar orang menganggap kita kini berjiwa kecil. Mengenai soal wang rakyat, apa pun kita katakan pembaziran, pilihanraya kecil ini tetap diadakan. Walau apa pun, perbelanjaan akan tetap dibuat kerana pilihanraya kecil ini. Saya berharap kita mengambil langkah untuk membetulkan persepsi rakyat dan pengundi. Keputusan ini diambil bukan kerana BN takut atau mengaku kalah sebelum ia bertanding. Ianya hanya dianggap sebagai permainan politik yang melampau oleh pembangkang. Walau dari perspektif teknikal pendekatan ini wajar tetapi keputusan ini tidak menghantar mesej yang positif kepada rakyat mengenai BN dan UMNO.

  4. Pilihanraya kecil ini akan membolehkan kita mengukur keberkesanan jentera dan mekanisme parti kita sebelum PRU13. Dengan keputusn tersebut kita tidak memberi peluang kepada pengundi di DUN Penanti untuk membuat pilihan diantara BN dan PR. Pada pendapat saya, Pilihanraya kecil boleh memberi gambaran awal mengenai kesiapsiagaan kita dalam berhadapan dengan segala kemungkinan cabaran politik. Ia juga boleh memberikan ukuran tahap sokongan pengundi. Lagipun DUN Penanti ini pada satu ketika dahulu adalah kerusi yang pernah dimenangi oleh BN. Namun demikian keputusan telah pun dibuat dan kita tetap menghormatinya.

No comments:

Post a Comment